Perutusan Menyambut Kemerdekaan Malaysia ke-52


Tuan-Tuan dan Puan-Puan;

Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat ALlah s.w.t kerana diberikan kesempatan untuk kita menyambut 52 tahun kemerdekaan negara. Kemerdekaan adalah satu nikmat yang patut kita syukuri.

Namun begitu, kita tidak boleh berpuashati hanya kerana negara kita telah mencapai kemerdekaan. Masih banyak perkara yang perlu diusahakan bagi mengisi kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya.

Bagi sebuah parti yang memperjuangkan dasar Islam, PAS melihat kelemahan dan kekurangan dalam pengisian kemerdekaan tidak wajar ‘disorok di bawah karpet’ sebagaimana yang menjadi amalan pemerintah.

Negara menghadapi pelbagai masalah yang jika dibiarkan akan memudaratkan sistem pentadbiran dan pengurusan negara.

Negara kita mempunyai rekod hak asasi yang amat buruk. Penahanan tanpa bicara seperti penggunaan akta ISA adalah sesuatu yang amat tidak disenangi rakyat. Lebih mendukacitakan apabila rakyat menggunakan ruang dalam hak, kebebasan berhimpun dan bersuara sebagaimana yang termaktub dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tidak dihormati malahan dilayan secara kasar oleh pemerintah sendiri.

PAS merasa amat dukacita atas apa yang berlaku. Rakyat yang sepatutnya mendapat hak kebebasan sebagaimana yang dijamin perlembagaan telah dicabuli pemerintah sesuka hati. Hal ini membuatkan kita terpaksa menyemak semula pengisian kemerdekaan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan;

Negara dilanda pelbagai krisis pentadbiran yang amat membimbangkan. Perspektif negatif terhadap badan kehakiman dan institusi-institusi awam seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menuntut semua pihak bersatu mengembeleng tenaga bagi memperbetulkan keadaan.

Krisis moral yang melanda semua peringkat masyarakat termasuk para pemimpin atasan boleh meletakkan negara ini berada dalam kebinasaan. Pengamalan rasuah, pecah amanah, perlakuan zina, gejala penagihan dadah telah tidak mengenal latar belakang masyarakat, kedudukan pangkat perlu diperbetulkan.

Justeru itu, PAS dengan penuh ikhlas dan bertanggung jawab membawa misi yang amat jelas menggerakkan kesedaran masyarakat untuk kembali kepada sistem Islam yang sempurna, adil lagi berintegriti.

Pendekatan Islam yang diperjuangkan PAS akan memastikan keadilan dan keselamatan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang agama dan warna kulit. Inilah yang dijanjikan Islam yang membawa konsep keselamatan untuk semua sebagaimana yang dinyatakan dalam Al Quran yang bermaksud:-

‘Tidak kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan memberi Rahmat kepada sekalian alam’. (Surah Al Anbiya: ayat 107)

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa agar negara kita mendapat rahmat dan perlindungan Allah selamanya.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan.

Sekian,

DATO’ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
- Naib Presiden PAS
- Pesuruhjaya PAS Pahang

Hantar artikel/hubungi kami


Nama anda
Email anda
Perkara/tajuk
Masssage
Image Verification
captcha
Please enter the text from the image:
[ Refresh Image ] [ What's This? ]

 
Powered By Blogger